Majlis Doa Selamat, Kesyukuran Istiadat Bersiram




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 April. - Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran bagi Istiadat Bersiram Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam sempena selamat meluaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, berlangsung di Surau, Istana Nurul Iman. 


Majlis disempurnakan di hadapan  Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah  Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.


Istiadat bermula dengan empat Awang-Awang masuk ke dalam majlis untuk meletakkan Dian Empat yang tersedia terpasang di tempat yang dikhaskan.


Diikuti tiga Awang-Awang membawa masuk Surat Dikir, Bantal Geguling dan Pabarahan, dan meletakkannya di tempat yang telah ditentukan. 


Sejurus itu, Majlis Berdikir dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Abdul Hamid. 


Seterusnya diikuti dengan persembahan Dikir Syarafil Anam, bacaan Rawi serta Dikir Marhaban oleh Yang Dimuliakan Begawan-begawan Pehin Khatib dan Begawan-begawan Mudim. 


Sebaik bacaan sampai kepada perenggan 'Ya Habibi', 17 das tembakan meriam dilepaskan di pekarangan Istana Nurul Iman oleh Pasukan Tembak Meriam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. 


Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar. 


Berangkat dan hadir ke majlis berkenaan, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri Berchiri, Manteri-manteri Bertauliah, Setiausaha-setiausaha Tetap, dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap. 


Sementara di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, majlis turut dihadiri oleh para jemputan wanita. 


Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah merupakan puteri pertama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah yang telah selamat meluaran seorang puteri pada Ahad, 20 Syaaban 1447 Hijrah bersamaan 8 Februari 2026 Masihi, jam 8.50 pagi.

Close